Adakah Wanita Yang Melahirkan Anak Melalui Pembedahan Ada Darah Nifas?

Jom kenali info lengkap tentang darah nifas.

Apa Itu Darah Nifas?

Darah nifas ialah darah yang keluar dari faraj wanita kerana melahirkan anak. Darah ini mudah untuk dikenal pasti, kerana penyebabnya sudah pasti, iaitu kerana adanya proses bersalin.

Syaikh Ibnu Utsaimin mengatakan bahawa darah nifas itu adalah darah yang keluar kerana melahirkan anak. Pendapat ini selari dengan pendapat Imam Ibnu Taimiyah yang mengemukakan bahawa darah yang keluar dengan rasa sakit dan disertai oleh proses kelahiran anak adalah darah nifas, sedangkan bila tidak ada proses kelahiran, maka itu bukan nifas.

Tempoh Had Nifas

Tidak ada had minimum tempoh darah nifas, jika kurang dari 40 hari darah tersebut berhenti maka seorang wanita wajib mandi hadas dan bersuci, kemudian solat dan dihalalkan atasnya apa-apa yang dihalalkan bagi wanita yang suci. Namun, had maksimum untuk darah nifas terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama.

1) Tempoh Nifas 60 hari

Ulama Mazhab Syafie majoriti berpendapat bahawa tempoh nifas adalah 40 hari sesuai dengan kebiasaan wanita pada umumnya. Namun had maksimum tempoh nifas adalah 60 hari.

2) Tempoh Nifas 40 hari

Majoriti Sahabat seperti Umar bin Khattab, Ali bin Abi Thalib, Ibnu Abbas, Aisyah, Ummu Salamah ra dan para Ulama seperti Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Ahmad, At-Tirmizi, Ibnu Taimiyah bersepakat bahawa had maksimum keluarnya darah nifas adalah 40 hari, berdasarkan hadis Ummu Salamah dia berkata,

“Para wanita yang nifas di zaman Rasulullah saw, mereka duduk (tidak solat) setelah nifas mereka selama 40 hari atau 40 malam.” (HR. Abu Daud no. 307, At-Tirmizi no. 139 dan Ibnu Majah no. 648) Hadis ini diperselisihkan darjat kehasanannya. Namun, Syaikh Albani menilai hadis ini Hasan Sahih. Wallahu a’lam.

3) Tidak Ada Tempoh Maksimum

Ada beberapa ulama yang berpendapat bahawa tidak ada batasan maksimum tempoh nifas, bahkan jika lebih dari 50 atau 60 hari pun masih dihukumi nifas. Namun, pendapat ini tidak masyhur dan tidak didasari oleh dalil yang sahih dan jelas.

Kesimpulannya, oleh kerana kita di Malaysia mengikut mazhab Syafie, maka kita berpegang kepada pendapat bahawa tempoh maksimum keluar darah nifas adalah 60 hari. Maka, jika pada hari ke-61 masih terdapat darah yang keluar daripada faraj, maka itu adalah darah istihadah.

Wanita tersebut tetap perlu mandi wajib dan bersuci sekalipun masih keluar darah daripada farajnya. Dan wanita tersebut juga diwajibkan untuk solat serta halal baginya melakukan apa-apa perkara yang dihalalkan kepada wanita yang berada dalam keadaan suci.

Perkara Yang Dilarang Dan Dibolehkan Kepada Wanita Bernifas

Wanita yang nifas juga tidak boleh melakukan hal-hal yang dilakukan oleh wanita haid, iaitu tidak boleh solat, puasa, tawaf, menyentuh al-Quran, dan berhubungan intim dengan suaminya pada kemaluannya.

Namun ia boleh membaca al-Quran tanpa menyentuh mushaf secara langsung (boleh dengan keadaan berlapik atau dengan menggunakan media elektronik seperti komputer, telefon pintar, ipad, dll), berzikir, dan boleh melayani atau bermesraan dengan suaminya kecuali pada kemaluannya.

Ciri-ciri Darah Nifas

Tidak banyak catatan yang membahas perbezaan sifat darah nifas dengan darah haid. Namun, berdasarkan pengalaman dan pengakuan beberapa responden, secara umumnya darah nifas ini lebih banyak dan lebih deras keluarnya daripada darah haid, warnanya tidak terlalu hitam, kekentalan hampir sama dengan darah haid, namun baunya lebih kuat daripada darah haid.

Bagaimana Jika Kelahiran Melalui Pembedahan?

Bagi wanita yang melahirkan anak melalui pembedahan, jika keluar darah melalui farajnya selepas pembedahan, maka darah itu adalah darah nifas. Namun, jiika tidak ada darah yang keluar, tidak ada nifas baginya dan ia dikira suci.

Kesimpulannya, sama ada seorang wanita itu bernifas atau tidak bergantung kepada keluar atau tidak darah dari farajnya selepas melahirkan anak, bukan bergantung kepada cara melahirkan iaitu melalui faraj atau dengan pembedahan.

Namun begitu, adalah tidak mustahil seorang wanita melahirkan anak tanpa keluar darah nifas sedikitpun. Terdapat riwayat menceritakan seorang wanita pada zaman Nabi saw melahirkan anak tanpa keluar darah nifas, lalu ia dipanggil dengan nama Zatil Jufuf iaitu wanita yang kering.

Adakah Darah Yang Keluar Selepas Keguguran Dianggap Darah Nifas?

Persoalan ini menjadi perbahasan di antara ulama;

1) Pendapat Mazhab Syafie

Tidak disyaratkan untuk dikategorikan sebagai darah nifas bahawa bayi yang dilahirkan itu hidup atau sempurna kejadian. Asalkan bidan atau pengamal perubatan mengesahkan bahawa yang keluar itu adalah janin manusia, maka sabitlah hukum nifas bagi darah yang keluar selepas keluarnya janin itu sekalipun janin itu belum menampakkan rupa manusia iaitu hanya berupa seketul daging semata-mata.

2) Mazhab Maliki

Seorang wanita dikira bernifas jika janin yang gugur itu telah berumur empat bulan. Jika yang gugur itu baru dalam peringkat ‘alaqah atau mudghah, maka tidak dikira nifas bagi darah yang keluar selepasnya.

Kesimpulannya, oleh kerana kita di Malaysia mengikut mazhab Syafie, maka kita berpegang bahawa darah yang keluar selepas keguguran itu adalah darah nifas.

Mandi Wajib Kerana Nifas

Cara mandi wajib kerana nifas sama sahaja seperti mandi wajib yang lain seperti kerana haid ataupun junub. Cuma berbeza pada niat sahaja. Di sini, kami kongsikan panduan mandi wajib di dalam gambar ini.

Mandi wajib selepas bersalin boleh dilakukan dengan salah satu daripada tiga cara ini, bergantung kepada keadaan si ibu.

  1. Jika ibu yang baru bersalin tidak keluar darah nifas, maka dia hanya perlu mandi wajib wiladah sahaja.
  2. Jika ibu baru lepas bersalin tidak keluar darah nifas, maka dia perlu mandi wajib wiladah dan solat seperti biasa. Kemudian selepas bebrapa ketika baru keluar darah nifas, maka dia dalam keadaan berhadas, tidak boleh solat dan perlu tunggu darah kering dan barulah mandi wajib nifas.
  3. Jika ibu baru lepas bersalin dan keluar darah nifas, dia perlu tunggu darah itu kering dan barulah mandi wajib wiladah dan nifas dalam satu mandian (tidak perlu mandi dua kali).

Darah wiladah adalah darah yang keluar ketika bersalin. Manakala darah nifas pula adalah darah yang keluar selepas bersalin.

 Ada 2 cara berniat untuk mereka yang mengalami wiladah serta nifas. Berikut antara caranya:

  • Menggabungkan dua niat dalam satu mandian. Contohnya: “Sahaja aku mengangkat hadas wiladah dan nifas, kerana Allah taala.” Kemudian dia mandi.
  • Mandi dengan satu niat sahaja. Contohnya: “Sahaja aku mengangkat hadas besar, kerana Allah taala.” Kemudian dia mandi.

Sumber: Bidadari

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! LM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LubukMaklumat