Al-faruq( Pemisah Antara Kebenaran Dan Kebatilan), Siapakah Beliau?

0
48

Umar bin Al-Khattab ~ Al-Faruq( Pemisah Antara Kebenaran Dan Kebatilan)

Nama sebenar Umar Al-Khattab adalah Umar bin Al-Khattab bin Nufail bin Abdul Uzza bin Ribaah Bin Abdillah bin Qarth bin Razaah bin Adi bin Kaab. Beliau berketurunan Arab Quraisy dari kabilah Bani Adi. Umar Al-Khattab dilantik sebagai duta kaumnya untuk mengadakan perundingan antara kabilah yang bermusuhan. Pengikut dari kabilah lain juga amat takut pada Umar.

Nabi berdoa supaya Islam dikuatkan oleh Umar.

Saidina Umar memeluk Islam pada tahun keenam kenabian Rasulullah SAW. Pada waktu itu beliau berumur 27 tahun. Diriwayatkan hati Umar mula bergoncang untuk menerima Islam setelah mendengar adiknya,Fatimah membaca Al-Quran,Surah Toha ayat 1-9 (sesetengah riwayat mengatakan Surah Taha ayat 1-5). 

Walaubagaimanapun, tindakan Umar memeluk Islam benar-benar telah menggemparkan masyarakat Quraisy. Ini disebabkan sebelumnya Umar adalah antara penentang kuat kepada ajaran Islam, bersama dengan Abu Jahal yang memang tidak dinafikan kebenciannya pada Islam. Namun perancangan Allah mengatasi segalanya. Berkat doa Rasulullah SAW, Umar telah diberikan hidayah untuk menerima Islam.

Rasulullah SAW berdoa ; “Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam”.( HR : At-Thabarani)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa : “Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khattab”.

Sebuah hadis dari Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah SAW berkata : “Apabila Umar memeluk Islam, Jibril pun datang dan berkata : “Ya Muhammad, sesungguhnya seluruh makhluk langit bergembira dengan islamnya Umar”.

Setelah memeluk Islam, Rasulullah SAW telah mengelarnya sebagai Al-Faruq kerana dapat membezakan di antara perkara yang benar dan bathil. Ketika ditanya oleh para sahabat bagaimana dia mendapat gelaran tersebut, Saidina Umar menjawab : “Pada suatu hari, Aku bertanya kepada Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah SAW, adakah kita dalam kebenaran ?”

Jawab Rasulullah SAW : “Benar”

Aku berkata lagi : “Kenapakah kita beribadah secara sembunyi ?”

Kemudian kami masuk ke Masjidil Haram membuat dua saf, satu aku dan satu lagi Saidina Hamzah. Maka semua orang kafir Quraisy melihat ke arah kami berdua dengan perasaan yang sangat marah yang tidak pernah mereka terjadi sebelum ini, lalu Rasulullah SAW mengelarkan aku Al-Faruq.

Dengan islamnya Umar, maka umat Islam yang sebelum itu sentiasa ketakutan menjadi kuat. Mereka telah berani solat secara terang-terangan di Baitullah khususnya setelah peristiwa di atas. Di samping itu juga, orang Quraisy juga tidak berani menganggu orang Islam yang sedang beribadah kerana takut kepada Umar.

Umar mencabar kafir Quraisy menghalangnya dari berhijrah ke Madinah.

Ketika perintah Allah supaya umat Islam yang ketika itu dipulaukan oleh penduduk kafir Quraisy berhijrah ke Yathrib, ramai dikalangan umat Islam takut untuk berhijrah. Ada yang tidak mahu meninggalkan kampung halaman masing-masing. Ada yang tidak sanggup berpisah dengan sanak saudara. Dan paling ramai kerana takut dibunuh kafir Quraisy yang menghalang disetiap sempadan negeri Makkah. Jika ada umat Islam yang keluar pasti akan dibunuh. Rasulullah SAW dan Abu Bakar sendiri berhijrah secara sembunyi. Namun keberanian Umar Al-Khattab mengatasi segalanya. Beliau dengan nekad akan menyahut seruan Nabi SAW untuk berhijrah ke Yathrib.

Setelah saidina Umar membuat keputusan untuk berhijrah, beliau mengambil sebilah pedang disandang di sisi pinggangnya. Kemudian dicapainya busar panah lalu disangkut dibahunya, sebatang anak panah tergenggam ditangannya dan melangkahkan kaki menuju ke Kaabah. Ketika itu tokoh-tokoh Quraisy sedang bersantai di sisi Kaabah terpaku menyaksikan kehadiran Umar dengan keadaan sedemikian. Mereka tidak berani mendekati,apalagi untuk bertanya sesuatu kepada Umar.

Saidina Umar melakukan tawaf tujuh kali dengan penuh semangat tetapi tenang, tanpa menghiraukan tokoh-tokoh kafir Quraisy yang memerhatikannya. Sebaik selesai melakukan tawaf, beliau menuju ke Makam Ibrahim dan mendirikan solat. Selesai solat, Umar berdiri di sisi Makam Ibrahim sambil mengeluarkan kata-kata yang keras dan pedas terhadap puak kafir Quraisy. kata Umar: “Sesungguhnya Allah SWT tidak akan membinasakan wajah manusia di dunia ini, kecuali wajah puak-puak jahannam yang memusuhi agama Allah. Barangsiapa yang sanggup menjadikan ibunya keseorangan disebabkan kematian anak, meletakkan anak-anak mereka menjadi yatim piatu lantaran kematian bapa, sanggup menjadikan isteri kesayangannya menjadi balu kerana kematian suami, marilah kita beradu senjata di sebalik bukit ini”. 

Cabaran Saidina Umar terhadap tokoh-tokoh Quraisy yang menyaksikan kehadiran Umar dengan pedang terhunus itu, ternyata menimbulkan kesan gerun di dalam hati mereka. Pertama kali mereka mendengar cabaran yang begitu hebat dari Umar, mereka terpegun tanpa seorangpun yang berani menyahut cabaran Umar berlawan senjata. 

Dari sudut psikologi, cara Umar mencabar puak Quraisy dengan gaya seorang pahlawan yang bersedia untuk mati, menjadikan puak Quraisy lemah semangat. Mereka membisu tanpa reaksi, sekalipun Umar mengutuk mereka sebagai puak yang bakal dibinasakan Allah SWT. Dalam keadaan puak Quraisy lemah semangat, Umar mengajak mereka beradu senjata. 

Saidina Ali r.a. yang turut mendengar kata-kata Umar itu berkata: Sesudah itu Umar melangkahkan kaki meninggalkan kota Makkah dengan tenang, tanpa dijejaki oleh puak-puak Quraisy. Bagaimanapun peristiwa itu memberi seribu rahmat kepada kaum muslimin yang letih lesu, dari kalangan orang-orang tua, orang-orang sakit yang tidak terdaya meninggalkan kota Makkah tanpa teman. Mereka semua mengambil peluang untuk berhijrah ke Madinah bersama Umar Al-Khattab, dengan aman tanpa sebarang gangguan.

Video:

Sumber: tanyalahustaz

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! LM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LubukMaklumat