Cara Banyakkan Susu Badan Ini Buat Ibu Menyusu Tersenyum & Bayi Jadi Ceria

0
184

Secara aturan semulajadinya, proses pengeluaran susu ibu akan bermula sebaik sahaja kehamilan masuk ke fasa pertengahan.

Susu pertama atau disebut juga sebagai kolostrum ini mula terhasil apabila usia kandungan masuk minggu ke 16 hingga 22 (trimester kedua).

Kolostrum dalam bentuk susu pekat berwarna kekuningan ini sangat kaya dengan nutrien dan antibodi untuk menyokong tumbesaran bayi dan melindunginya daripada serangan penyakit selepas proses kelahiran.

Selepas itu (hari ke-2 hingga ke-5), susu kolostrum kemudian akan bertukar menjadi susu matang yang lebih cair, mudah mengalir keluar dan kuantitinya akan bertambah semakin banyak.

Apa Masalah Ibu menyusu?

Setiap ibu menyusu telah diprogramkan supaya dapat menghasilkan sendiri susu ibu selepas proses kelahiran bayi.

Dan setiap ibu menyusu juga mempunyai pengeluaran susu ibu yang mencukupi untuk keperluan bayi mereka.

Lalu apa masalahnya?

Ya, kebanyakan ibu menyusu mampu untuk menghasilkan susu ibu dan cukup untuk bayi mereka pada permulaannya.

Selepas daripada itu, kebanyakkan ibu menyusu terpaksa menghadapi masalah kekurangan susu badan seiring dengan perkembangan tumbesaran bayi yang sangat aktif dan keperluan susu mereka yang semakin kerap meningkat.

Adakah Masalah Susu Badan Kurang Itu Normal?

Ya, ibu menyusu dikira normal mengalami masalah susu badan kurang jika disebabkan oleh faktor-faktor berikut:

+1 – Bayi Menyusu Dengan Kerap

Susu ibu mudah dan cepat dihadam oleh perut bayi (antara 1.5 hingga 2 jam). Jadi, bayi perlukan penyusuan yang lebih kerap walaupun dalam kuantiti yang sedikit pada permulaannya.

Tidak hairanlah jika bayi anda menangis setiap 2 jam sekali untuk meminta susu. Kekerapan menyusu ini mungkin akan menyebabkan ibu merasa susu badan semakin berkurangan.

Disamping itu, keperluan bayi menyusu dengan kerap juga adalah salah satu cara supaya bayi dapat rapat dalam pelukan ibunya. Manja bukan?

+2 – Fasa Perkembangan Pantas 

Keperluan susu bagi bayi yang sedikit pada awalnya akan semakin meningkat terutamanya apabila melalui fasa tumbesaran pantas (Growth Spurt).

Dalam tempoh ini, bayi perlukan susu ibu dengan lebih kerap atau masa penyusuan yang lebih panjang. Keinginan bayi untuk menyusu juga kelihatan agak mendesak dalam tempoh ini.

Dan kuantiti susu yang diperlukan juga akan mengingkat dari masa ke semasa. Jadi normal jika ibu rasa susu badan semakin berkurangan disebabkan oleh faktor ini.

+3 – Payudara Rasa Tidak Penuh

Payudara menjalankan proses pengeluaran susu ibu bersesuaian dengan keperluan si bayi.

Situasi ini mungkin menyebabkan payudara mungkin terasa tidak berisi sepenuhnya (berlaku antara minggu ke-3 hingga ke-12 selepas kelahiran).

Faktor ini adalah normal selagi bayi terus menyusu dan jangan risau tentang kuantiti susu yang tidak cukup. Payudara akan mengeluarkannya selagi ada “Demand & Supply”.

Tanda Bayi Dapat Susu yang Cukup

Apa tanda bayi kita cukup menyusu? Sebulan selepas kelahiran, bayi sepatutnya dapat melihat perkembangan berikut:

  1. Sudah berjaya mencari puting payudara untuk menyusu dengan sendiri
  2. Dapat menyusu dengan sempurna (kenyang) setiap kali selepas menyusu
  3. Kerap buang air atau tukar 6 hingga 8 kali lampin kain (atau 4 hingga 5 kali tukar lampin pakai buang) dalam tempoh 24 jam
  4. Keluar najis yang lembut berwarna kuning sekurang-kurangnya sekali sehari
  5. Kenaikan berat badan bayi yang stabil dan normal mengikut carta perkembangan bayi semasa

Apa Punca Masalah Susu Badan Kurang?

Ada beberapa punca mengapa ibu menyusu mengalami masalah susu badan yang semakin berkurangan dan tidak dapat menampung keperluan penyusuan bayi mereka.

Antara punca-punca tersebut ialah:

  1. Bayi tidak cukup atau tidak kerap menyusu: Bayi biasanya perlukan sekurang-kurangnya 8 hingga 12 kali sesi penyusuan badan dalam tempoh 24 jam.
  2. Teknik pelekapan yang tidak sempurna: Bayi tidak dapat menyusu dengan betul atau teknik pelekapan kepada payudara yang kurang berkesan. Mungkin menyebabkan kecederaan dan kesakitan pada puting payudara.
  3. Pemberian susu formula: Ibu menyusu terlalu awal memberi pengenalan kepada botol susu dan susu formula terhadap bayi. Tindakan ini boleh mengganggu proses penyusuan badan bayi secara semulajadi.
  4. Pembedahan payudara: Ibu menyusu pernah menjalani pembedahan payudara yang mungkin boleh menjejaskan aktiviti pengeluaran susu ibu dengan sempurna.
  5. Masalah susu tersumbat: Ibu menyusu pernah mengalami mastitis atau masalah susu tersumbat sebelum ini.
  6. Kaedah perancang kehamilan: Pernah mengamalkan pil pencegah kehamilan di masa lalu yang mungkin membawa kesan jangka panjang masalah pengeluaran susu badan.
  7. Tabiat merokok: Ibu menyusu pernah atau masih mengamalkan tabiat merokok. Salah satu kesan buruknya ialah melibatkan masalah pengeluaran susu ibu.
  8. Mengamalkan kaedah pengubatan tertentu: Kaedah rawatan tertentu sama ada moden/tradisional/suplemen juga berpotensi menyebabkan masalah kurang susu badan.

Tips Cara Untuk Banyakkan Susu Ibu

Jika ibu menyusu mengalami punca masalah yang normal kurang susu badan atau faktor lain yang tertentu, ia masih boleh diatasi dengan mencuba tips cara banyakkan susu ibu berikut:

#1. Mulakan Penyusuan Bayi Seawal Mungkin

Selepas proses kelahiran selesai dengan sempurna, segera dapatkan bayi.

Pelukan dan sentuhan badan antara bayi dan ibu akan perlahan-lahan menimbulkan keinginan si bayi untuk menyusu secara semulajadi.

Jangan ambil masa yang lama untuk mulakan penyusuan bagi mengelakkan masalah kekurangan susu ibu.

#2 – Kerap Menyusukan Bayi

Bagi minggu-minggu awal selepas kelahiran, susukan bayi 8 hingga 12 kali sehari selang 2 atau 3 jam sekali. Aktif menyusu dapat membantu kelancaran pengeluaran susu ibu dari masa ke semasa.

#3 – Periksa Cara Pelekapan Bayi Menyusu

Sentiasa periksa cara pelekapan bayi dengan payudara ibu menyusu. Bantu bayi dan betulkan posisinya sebaik mungkin.

Ia penting untuk bayi mendapatkan penyusuan yang sempurna dan mengelakkannya mengalami masalah tersedak susu.

#4 – Sentiasa Bersedia Dengan Masalah Penyusuan

Jangan terlalu kerap menyusui bayi melalui sebelah payudara sahaja. Selang-seli beri bayi menyusu pada kedua-dua belah payu dara supaya boleh merangsang proses penghasilan susu secara optimum dan berterusan.

Penyusuan yang kurang atau tertumpu pada sebelah payudara sahaja akan menyebabkan pengeluaran susu menjadi tidak aktif dan produktivitinya akan menurun.

Alternatif penggunaan pam susu boleh membantu elakkan masalah ini. Lebih baik lagi, amalkan teknik power pumping bagi merangsang pengeluaran susu ibu dengan konsisten

#5 – Jangan Skip Sesi Penyusuan

Bagi ibu bekerja ia adalah masalah besar jika ingin menyusukan bayinya secara terus setiap masa. Atasinya dengan proses pengepaman sama ada secara automatik (pam elektrik) atau manual.

Jika tidak, sistem pengeluaran susu akan terganggu akibat signal penyusuan yang berkurangan.

Persediaan susu EBM amat membantu bagi ibu bekerjaya kerana dapat membantu perggantungan dengan susu formula dan pemberian nutrisi suus ibu yang lebih baik tanpa bandingan kepada si bayi.

#6 – Elakkan Penggunaan Pacifier

Seboleh-bolehnya elakkan pengunaan atau pacifier atau lebih dikenali sebagai puting tiruan, puting kosong atau puting getah untuk bayi.

Atau jika tidak boleh dielakkan akibat faktor-faktor tertentu, jangan berinya terlalu awal. Pastikan bayi biasa belajar dan mesra dengan rutin awal penyusuan badan secara terus yang sangat penting.

#7 – Awas Penggunaan Ubat

Sesetengah ubat boleh menyebabkan kesan pengurangan pengeluaran susu ibu.

Ibu menyusu boleh dapatkan nasihat pakar perubatan bagi merujuk masalah ini sebelum pengambilan sebarang jenis preskripsi ubat.

#8 – Berhenti Merokok & Berhenti Minum Alkohol

Tiada sebab untuk ibu menyusu perlu merokok dan meminum alkohol. Kedua-dua tabiat buruk ini biasanya tidak diamalkan oleh wanita di Malaysia.

Jika ada, berhenti lebih baik kerana ia boleh mengganggu pengeluaran susu ibu dan memberi kesan buruk yang pelbagai.

#9 – Amalkan Pemakanan Sihat Untuk Tingkatkan Produktiviti Susu Ibu

Ada banyak tips dan petua banyakkan susu badan yang boleh diamalkan untuk meningkatkan pengeluaran susu ibu bagi ibu menyusu.

Lebih mudah lagi, boleh amalkan nutrisi suplemen untuk tambah susu ibu sebagai milkbooster.

Cuma pastikan ia benar-benar bagus, selamat dan berkesan tanpa sebarang kesan sampingan yang boleh memudaratkan si ibu dan bayi di masa akan datang.

Video:

Sumber: Youfabulosmama

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! LM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LubukMaklumat

Sumber: islamikinfo