Jerung Paus Yang Masih Hidup Diangkut Di Atas Lori Dan Dibawa Mengelilingi Bandar Untuk Dijual. Kejam Dan Tidak Bertanggungjawab!

0
327

Di daerah Xiapu, China gempar apabila seorang nelayan tempatan dilihat mengangkut seekor jerung paus dan menawarkan untuk menjual hidupan laut gergasi ini di restoran berdekatan.

Menerusi laporan oleh Shanghaiist, ikan jerung paus ini dilihat masih hidup memandangkan siripnya masih bergerak ketika berada di atas lori berkenaan.

Kejadian yang berlaku pada 4 September lalu ini benar-benar mengejutkan orang ramai yang melihatnya. Apabila nelayan ini tiba di sebuah restoran dan mula membuat penawaran, pengurus restoran berkenaan dengan serta-merta menolak untuk membeli ikan tersebut.

Namun, penolakan tersebut bukan sahaja disebabkan oleh ikan ini merupakan spesies yang dilindungi negara China tetapi kerana ianya mempunyai bau yang agak kuat dan mengandungi bahan merkuri yang tinggi.

Keesokan harinya, nelayan tersebut dilihat memotong ikan jerung paus ini kepada beberapa bahagian kecil bagi memudahkan mereka menjualnya.

Penyebaran gambar dan video ini menjadi tular di rangkaian media sosial China sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat setempat. Berikutan penyebaran video itu, pihak berkuasa tempatan mula menjalankan penyiasatan.

Tidak lama kemudian, salah seorang daripada beberapa nelayan yang terlibat berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa. Penangkapan ini dibuat atas alasan negara China melarang keras tindakan menangkap jerung paus.

Sekiranya hidupan laut ini ditangkap secara sengaja, para nelayan haruslah melepaskan haiwan ini dengan segera. Selain China, negara seperti India, Filipina dan Taiwan juga mengharamkan perbuatan menangkap, menjual dan mengimport jerung paus.

Namun begitu, masih ramai nelayan yang ‘tidak sengaja’ menangkap ikan jerung paus ini. Pada tahun 2016 misalnya, pegawai kerajaan dari Beihai telah memuatnaik beberapa gambar yang memperlihatkan seekor jerung paus sedang berenang berdekatan pelantar minyak.

Dua hari kemudian, pegawai Beihai sekali lagi kongsikan gambar berkaitan jerung paus itu dan dengan serta-merta, ianya menjadi tular di seluruh China. Penularan itu adalah kerana jerung paus tersebut dilihat tergantung pada kren dan sedang disembelih!

Mereka yang melihat insiden ini meluahkan rasa tidak puas hati dan marah dengan individu yang bertanggungjawab dalam menyebabkan kematian jerung paus itu.

“Saya mahu menggantung mereka yang melakukan perbuatan ini,” tulis seorang netizen.

Insiden yang lebih kurang sama berlaku pada tahun 2014 apabila seekor jerung paus dilihat ditangkap secara ‘tidak sengaja’ oleh seorang nelayan di Zhejiang. Apabila pihak berkuasa menjalankan siasatan, nelayan yang dikenali sebagai Zeng itu mendakwa bahawa dia tidak menyedari ikan tersebut memasuki pukatnya sehinggalah dia tiba di pantai.

Apabila tiba di darat, jerung paus ini terus mati dan Zeng menjualnya.

Isu ini menjadi satu isu yang hangat diperdebatkan dan akan dibanteras habis-habisan oleh kerajaan. Hukuman yang keras harus diberikan kepada individu yang bertanggungjawab menyebabkan kematian spesies terlindung ini.

Jika anda suka dengan kisah ini. Sila berikan sokongan dengan KONGSI bersama rakan anda supaya kami dapat terus berusaha menyediakan kandungan berkualiti buat tatapan komuniti semua. Ribuan Terima Kasih.

Sumber : Era Baru

Sumber: LimauManis