Kambing Anak Matanya Mendatar? Apakah Sebab Dan Kelebihannya?

0
83

Setiap spesis kehidupan yang ada di muka bumi ini sebenarnya mempunyai keunikkan mereka yang tersendiri. Setiap ciptaan Tuhan itu pasti ada fungsinya. Sesetengah haiwan mempunyai 4 kaki, sesetengah haiwan lain tidak berkaki, manakala ada haiwan yang boleh terbang, yang lain pula berenang dan terbang. 

Fahami Jenis-Jenis Anak Mata 

Kambing memiliki sepasang mata yang boleh dikatakan sangat berbeza dengan manusia, mungkin buat kebanyakan kita ianya kelihatan pelik, namun sebenarnya ianya mempunyai keunikkannya yang tersendiri.

Kambing mempunyai anak mata yang mendatar dan secara kasarnya bersegi empat tepat, yang sangat berbeza dengan manusia dan anjing yang mempunyai anak mata yang bulat, dan kucing yang mempunyai anak mata slit menegak. 

Mengapakah kambing mempunyai mata sedemikian rupa? Begitu juga dengan mata kucing, mengapa ianya begitu rupa? Dalam sebuah kajian yang dijalankan oleh seorang saintis penglihatan, Martin Banks, beliau merumuskan bahawa bentuk anak mata haiwan sebenarnya memberi klu terhadap kedudukannya dalam rantai makanan. 

Banks dan kumpulannya mengkaji 214 pasang anak mata spesis haiwan darat yang berbeza, dan mendapati bahawa terdapat hubungan jelas antara bentuk anak mata dan peranan ekologikal mereka.

Haiwan pemangsa yang menyerang hendap mangsanya lebih cenderung untuk memiliki anak mata dengan slit menegak, manakala haiwan herbivor yang menjadi mangsa kepada haiwan-haiwan lain pula selalunya mempunyai anak mata yang mendatar.

Pembahagian antara pemangsa dan mangsa dari segi bentuk anak mata mencadangkan bahawa pemburu dan yang diburu mendapat sedikit kelebihan daripada jenis khusus anak mata yang dimiliki mereka. 

Bagi mengetahui apakah kelebihan tersebut, para pengkaji telah menganalisis kebolehan kedua-dua jenis bentuk anak mata ini, dan bagaimana ianya boleh membantu mereka daripada segi keperluan visual yang berbeza, buat kedua pemangsa dan mangsa. 

Kelebihan Anak Mata Mendatar Seperti Yang Ada Pada Kambing

Kambing dan haiwan-haiwan lain yang meragut rumput seperti rusa dan lembu, yang diburu oleh pemangsa mempunyai strategi yang agak mudah bagi mengelakkan diri daripada menjadi makanan buruan, iaitu sentiasa berjaga-jaga dan melarikan diri sekiranya menyedari sebarang bahaya. 

Mata mereka perlu melakukan dua perkara bagi mendokong strategi tersebut. Yang pertama, haiwan-haiwan ini perlulah dapat melihat secara panorama bagi mengesan pemangsa yang boleh mendekati mereka daripada pelbagai arah. Keduanya, mereka mestilah boleh melihat secara jelas daripada arah hadapan bagi membimbing pergerakan pantas merentasi kawasan yang kasar dan tidak rata. 

Dalam situasi bahaya sedemikian, anak mata yang mendatar mampu memberi kelebihan kerana bentuknya itu menghasilkan pandangan panorama yang tajam yang lebih luas dan pendek berbanding anak mata yang bulat dan slit menegak, membolehkan mereka melihat hampir semua apa yang ada di sekelilingnya. 

Anak mata mendatar yang panjang juga meningkatkan kualiti imej objek di hadapan dan di belakang haiwan tersebut, dan membantu mata mereka untuk menangkap lebih banyak cahaya di sepanjang tanah, mengurangkan cahaya daripada atas yang menyebabkan silau.  

Sudah tentu, kelebihan ini tidak berhasil sekiranya anak mata haiwan seperti kambing terus berada pada kedudukan yang sama (yakni tidak bergerak), dan kemudiannya menegak sejajar apabila haiwan tersebut mencondongkan kepalanya untuk meragut rumput. 

Mata Kambing Bergerak Sejajar Dengan Tanah

Selepas melihat haiwan-haiwan sedemikian meragut di zoo, para pengkaji menemui bahawa mata haiwan terbabit berputar bagi mengekalkan kedudukannya yang mendatar sejajar dengan tanah, sama ada kepalanya menegak mahupun menghadap ke bawah ke arah rumput. 

Bagi haiwan darat yang berada dalam bahaya dan bakal menjadi makanan kepada pemangsa, mereka tidak mempunyai banyak pilihan lain selain daripada menyedari persekitaran mereka dan melarikan diri. Mempunyai anak mata mendatar adalah suatu yang ideal bagi tujuan tersebut. Dalam kata lain, mata kambing yang pelik sebenarnya membantu dalam memastikan kelansungan haiwan tersebut. 

Sementara itu, kumpulan pengkaji berkenaan turut menemui bahawa anak mata menegak, berbentuk slit sebenarnya membantu haiwan pemangsa yang kecil seperti ular untuk mengagak jarak antara mangsa dan lain-lain objek supaya mereka mengetahui sejauh mana mereka perlu menerkam. 

Sumber: Iluminasi

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! LM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LubukMaklumat