Nikah: Adat Vs Ibadat

Nikah adalah ibadah yang disunnahkan dan mempunyai nilaian yang besar di sisi agama. Nikah adalah menifestasi ketaatan mukmin terhadap syariatullah dan mendekatkan diri dengan sunnah Rasulullah s.a.w. Walau apa intipatinya, nikah tetap merupakan ibadah yang perlu dilaksanakan dengan peraturan Islam demi mencapai hakikat kesempurnaan iman. Syariatullah yang benar dan sunnatullah yang berlandaskan akhirat, pasti membawa kebahagian yang hakiki. Nikah bukan tuntutan adat, tetapi nikah adalah ibadah. Pastikan segala perkara berkait nikah menepati sunnah dan tidak bertaqlid kepada adat semata-mata. Gunakan ilmu dan kebijaksanaan untuk membezakan antara adat dan ibadah nikah.

1)      Memilih pasangan

Adat : Asalkan cantik di mata berkenan di hati.

Ibadah : Yang terbaik adalah yang beragama. (Hadith Sahih Riwayat Bukhari 6:123, Muslim 4:175)

2)      Berkenalan

Adat : Berkawan untuk mengenal hati budi pasangan. Lakukan aktiviti bersama-sama supaya lebih mesra.

Ibadah : Banyakkan istikharah kerana hanya Allah yang Maha Mengetahui. Berkenalan sekadar keperluan. (Hadis Sahih riwayat Bukhari dalam no: 1162)

3)      Bertunang

Adat : Majlis bertunang yang meriah dihadiri sahabat handai dan saudara mara.

Ibadah : Majlis yang hanya melibatkan perjanjian antara ibubapa gadis dengan lelaki yang meminangnya. Tidak perlu dihebahkan. (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani)

4)      Hantaran perkahwinan

Adat : Mengikut tahap pendidikan dan kedudukan wanita.

Ibadah : Tiada sebarang wang hantaran. (tiada rujukan hadis kerana tiada di dalam Islam)

5)      Mas kahwin

Adat : Mas kahwin/mahar yang rendah. (hadis marfu’ riwayat At-Tabrani, terlalu lemah pada sanadnya).

Ibadah : Pemberian yang bernilai dan berfaedah sebagai penghargaan suami kepada isteri. Antara mahar paling rendah yang pernah diberikan Rasulullah s.a.w kepada isterinya adalah 12 auqiyyah bersamaan 500 Dirham bersamaan RM2147. Mahar yang paling tinggi Rasulullah adalah kepada Khadijah sebanyak 20 ekor unta dan Ummu Habibah sebanyak 4000 Dirham bersamaan RM41181 (HR.Muslim dan Abu Daud, al-Majmuk:18/8-9, Kitab Hukum Dr. Yusuf Qardhawi:256). Bergantung kepada kemampuan suami dan Rasululullah s.a.w menyediakan mahar yang berbeza mengikut kemampuannya ketika itu.

6)      Walimatul urus

Adat : Tetamu yang datang memberi wang kepada tuan rumah.

Ibadah : Tetamu tidak perlu memberikan wang kepada tuan rumah. Majlis walimah adalah jamuan makan percuma untuk menghebahkan pernikahan. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Kitab an-Nikah, Bab: al-Walimah, 16/152, no. 4768).

7)      Solat sunat selepas bernikah

Adat : Melakukan solat sunat nikah selepas akad nikah di hadapan tetamu.

Ibadah : Sujud syukur selepas akad nikah. Solat sunat hanya dilaksanakan bersama isteri pada malam pertama pernikahan. (Hadis Riwayat Ibn Mas’ud, HR Ibn Abi Syaibah dengan isnad hasan)

8)      Meletak tangan di atas ubun-ubun isteri dan berdoa

Adat : Dilakukan selepas akad nikah di hadapan tetamu.

Ibadah : Dilakukan ketika berdua-duaan dengan isteri sebelum solat sunat nikah di waktu malam. (Riwayat Abu Daud no.1260)

9)      Bersanding dan bersolek

Adat : Bersanding di atas pelamin dan pengantin bersolek tebal (tabarruj).

Ibadah : Tidak bersanding dan pengantin wanita tidak bersolek secara berlebihan (tidak tabarruj). (Syarah Syeikh al-Albani dalam kitab “Jilbaabul mar-atil muslimah” hal. 38, Hadis Riwayat Ahmad, Abu D , An Nasaii dan Ibn Majah).

10)  Berinai

Adat : Wanita memakai inai di semua jari dan lelaki memakai inai pada tiga jari tangan.

Ibadah : Hanya wanita yang dibenarkan memakai inai dan lelaki diharamkan memakai inai untuk perhiasan. Inai hanya boleh dipakai untuk mewarnakan rambut dan janggut bagi lelaki. (Aun al-Ma’bud Syarah Sunan Abu Daud, diriwayatkan oleh Abu Daud, sahih Al-Jaami’ no 2502, Imam an-Nawawi dalam fatwa al-Majmu’).

11)  Menyarung cincin

Adat : Menyarung cincin perkahwinan di hadapan tetamu.

Ibadah : Tidak pernah disunnahkan menyarungkan cincin di hadapan tetamu bahkan ia menyerupai budaya nasrani. (al-Albani, Adaab az-Zifaaf fii  as-Sunnati al-Muthahharah, m/s. 212 – al-Maktabah al-Islamiyah).

12)  Mencium dahi isteri

Adat : Mencium dahi isteri di khalayak ramai.

Ibadah : Tidak dibenarkan mencium isteri di khalayak ramai kerana Islam amat menjaga maruah. (Hadis Muslim no 50 dan 52).

13)  Dulang hantaran

Adat : Bertukar-tukar dulang hantaran dengan bilangan yang ganjil.

Ibadah : Tiada dulang hantaran. Sunat memberi hadiah yang ikhlas kepada suami atau isteri tanpa mempamerkan kepada khalayak ramai. (HR. Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad no. 594, dihasankan Al-Imam Al-Albani t dalam Irwa`ul Ghalil no. 1601).

14)  Ucapan kepada pengantin

Adat : Selamat pengantin baru. Semoga bahagia ke anak cucu.

Ibadah : Mudah-mudahan Allah memberimu keberkatan dan mempersatukan kamu berdua dalam kebaikan.

“Baarakallahu lakuma wabaraka ‘alaiykuma wa jama’a baiynakuma fii khoir”. (Hadis riwayat Tirmizi, Nasaei dan Ibnu Majah. Menurut Tirmizi ia adalah Hadis Hasan).

15)  Majlis khatam al-Quran atau tahlil kesyukuran

Adat : Dilakukan bersama majlis walimah.

Ibadah : Tidak pernah disunnahkan dalam Islam.

Jadikan nikah anda, atau anak-anak anda kelak sebagai ibadah yang benar dan  mengikut syiar Islam yang tulen. Gantikan adat-adat yang tidak disunnahkan kepada ibadah yang digariskan oleh Rasulullah s.a.w. Mudah-mudahan akan terbinalah sebuah baitul Muslim yang bakal melahirkan generasi qaedah sulbah yang mampu mengembalikan Tamadun Islam yang gemilang.

Rujukan : al-Quran dan sunnah.

Sumber: Asmah Chems