Hampir 20 tahun hidup satu kaki, namun semangat Tokoh Pekerja Negara 2019 ini mengatasi segalanya

BERPANTANG maut sebelum ajal.

Begitulah perumpamaan bagi menggambarkan peristiwa getir yang menimpa Tokoh Pekerja Negara 2019, Dr Aizan Sofia Amin ketika baru berusia belasan tahun. 

Beliau yang dilahirkan dengan sempurna anggota fizikal diduga hebat hanya pada usia 14 tahun apabila didiagnosis menghidap kanser tulang peringkat awal.  

Pada usia semuda itu, anak keempat daripada lima beradik tersebut terpaksa menjalani pembedahan bagi membuang tumor di bahagian lutut kanannya. 

Namun, selepas 12 hari tulang tumor itu dikeluarkan dan diuji di makmal, doktor menyampaikan satu lagi khabar tidak baik yang mengatakan bahawa kakinya terpaksa dipotong.  

Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menyampaikan anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) kepada Aizan Sofia. 

“Doktor kata ada kuman kanser dan mahu potong kaki saya, tapi keluarga saya tidak boleh terima kerana saya merupakan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. 

“Dulu pada 1997, kesedaran kanser tu kurang dan keluarga saya pula bukan educated. Kami tak tahu kalau tak setuju dengan pandangan seorang doktor tu, kami boleh ke hospital lain minta pandangan atau buat ujian kedua,” katanya kepada mStar pada Isnin. 

Pensyarah kanan psikologi itu ditemui di pejabatnya di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, Selangor. 

Enggan mengikut nasihat doktor, mereka sekeluarga memutuskan untuk mencuba perubatan alternatif iaitu berubat secara tradisional selama hampir setahun. 

Wanita ini aktif menyampaikan ilmu kesukarelawanan berdasarkan pengalaman hidupnya kepada sukarelawan baharu. – Foto IRM

Dalam tempoh tersebut, Aizan Sofia tidak dapat meneruskan sesi persekolahan selama hampir tujuh bulan. 

Tambah beliau, kaki yang dibuang tumor itu disimen dan diganti tulang sahaja tanpa melakukan rawaran ke atas sel kanser berkenaan. 

“Peliknya lepas buka simen, tulang kaki tu bercantum semula dan saya boleh berjalan. 

“Saya fikir, kalau kanser, tak mungkin tulang itu bercantum. Mestilah kuman makan tulang tu kan?,” katanya yang kemudian pulih seperti biasa. 

Selepas berasa yakin dengan keadaannya yang semakin pulih, Aizan Sofia hadir ke sekolah dengan mengayuh basikal selepas mendapat kebenaran doktor. 

 

Saya rasa kalau saya tak menyumbang kepada masyarakat, saya rasa diri ini tiada harga dan tidak berguna. AIZAN SOFIA

Namun tidak lama dia dapat bersama rakan sebaya di sekolah, lama-kelamaan kakinya membengkak semula dan tiba-tiba patah ketika sedang menaiki tangga di sekolah. 

“Bunyi macam kaca pecah dan saya rasa macam panas je kerana darah turun di bahagian lutut sehingga membuatkan saya tidak boleh berjalan. 

“Ibu bapa saya datang ke sekolah untuk bawa saya balik, tapi ketika itu saya masih tak nak ke hospital kerana takut kaki akan dipotong,” ujarnya yang berasal dari Puchong, Selangor. 

Setahun kemudian, lutut Aizan Sofia semakin membengkak sebesar saiz buah kelapa dan akhirnya pecah dan mengeluarkan nanah berdarah serta bau busuk. 

Keadaan bertambah teruk apabila kaki yang bengkak di bahagian lutut itu kelihatan berlubang-lubang dan salur uratnya terputus sehingga menyebabkan darah memancut keluar. 

Aizan Sofia disamping ibunya sambil memegang trofi Tokoh Pekerja Negara (OKU) 2019.

“Masa itu saya masih berkeras lagi tak nak ke hospital sampailah urat saya putus kali kedua tiga hari kemudian. 

“Barulah saya setuju untuk ke hospital dan ketika itu keadaan saya sudah nazak. Saudara-mara dan jiran pun datang bacakan Yasin… masa tu saya rasa ajal dah nak sampai,” ceritanya mengisahkan detik yang masih segar dalam ingatannya itu. 

Akhirnya, Aizan Sofia terpaksa menerima kenyataan kehilangan kaki kanannya selepas menanggung derita selama hampir dua tahun. 

Namun, berkat kecekalan jiwanya dan tiupan semangat yang tidak pernah putus daripada keluarga, Aizan Sofia meneruskan persekolahan di tingkatan lima tanpa mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR). 

Beliau yang mengambil aliran sastera berjaya meraih keputusan 5A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan diterima masuk ke Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang psikologi. 

Walaupun pernah disisihkan oleh rakan-rakan ketika di zaman universitinya, perkara itu tidak melunturkan semangat Aizan Sofia untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Psikologi 2007 pada peringkat ijazah sarjana muda. 

Aizan Sofia (tiga dari kiri) bergambar bersama-sama Ikon Kemanusiaan IRM yang lain. – Foto IRM

Selepas menggenggam segulung ijazah, beliau menjadi sukarelawan selama enam bulan di Majlis Kanser Nasional (Makna) sementara menyambung pengajian peringkat sarjana di UKM.  

Tidak lama selepas itu, Aizan Sofia turut menjadi sukarelawan bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk mencari dana dan membuat jualan amal. 

Pada 2010, remaja yang masa depannya seakan suram itu membuktikan kepada semua bahawa dia juga mampu berjaya dan melanjutkan pelajaran ke peringkat doktor falsafah dalam kajian tentang disabilities (ketidakupayaan) di Universiti Glasgow, Scotland. 

Selepas menamatkan ijazah kedoktoran tersebut, beliau kembali aktif dalam aktiviti kesukarelawanan bersama IRM sehingga diangkat menjadi Ikon Kemanusiaan IRM bersama beberapa selebriti tempatan seperti Irma Hasmie, Diana Amir dan Ashraf Muslim.  

“Saya rasa kalau saya tak menyumbang kepada masyarakat, saya rasa diri ini tiada harga dan tidak berguna.  

“Saya mahu orang tengok OKU (orang kelainan upaya) macam saya pun dapat jadi sukarelawan, supaya mereka pun terinspirasi melakukan perkara sama,” ujarnya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LubukMaklumat

Sumber

Be the first to comment

Leave a Reply