“Saya terpaksa makan daging ikan paus” – Pengarah Seni Nat Geo Asia Kongsi Pengalaman Sepanjang Kerjayanya

 

JERITAN orang meminta tolong yang sayup-sayup kedengaran membuatkan matanya berkaca, emosinya turun naik dan kakinya kaku tidak bergerak.

Kemusn4han yang berlaku di depan mata terlalu besar, sejauh pandangan mata memang tiada apa yang mampu dilakukan oleh pemuda ini untuk menghulurkan bantuan.

Lamunan Pengarah Seni National Geographic Asia (Nat Geo), Mohd Syazwan Anuar, atau lebih dikenali sebagai Noit Pippo terhenti apabila seorang budak datang meminta tolong agar dia melakukan sesuatu untuk menyelamatkan keluarganya.

“Kesiannya kita tak boleh buat apa-apa sebab kawasan tu keras macam simen. Selut dah bercampur dengan air dan jentolak nak korek pun tak boleh.

“Sampai satu tahap mereka dah putus asa… misalnya mereka tahu di mana kawasan keluarga mereka tertanam di bawah tanah tu, mereka pun duduk je lah atas tanah tu dan menangis,” katanya kepada mStar baru-baru ini.

Pasangan adik-beradik, Zaskia dan Zalikha yang terselamat daripada menjadi korban tsunami di Palu. – Instagram Noit Pippo

Beliau berkata demikian ketika bercerita tentang pengalaman yang tidak boleh dilupakannya sewaktu menjalankan penggambaran dokumentari bencana tsunami di Kampung Balaroa di Palu, Indonesia.

Tambah pemuda berusia 34 tahun itu, ramai anak-anak Palu bergelar yatim piatu dalam sekelip mata dan berpeleseran di tepi pantai kerana menunggu ibu bapa mereka keluar dari laut.

Katanya, kemusnahan yang berlaku seperti suatu kejadian mistik kerana seluruh Kampung Balaroa ranap dan ditenggelami tsunami yang melanda pada 28 September tahun lalu.

Sepanjang lapan tahun menjadi sebahagian ‘keluarga’ syarikat rangkaian televisyen satelit itu, Noit berpeluang mengembara ke pelbagai destinasi terpencil di beberapa negara.

Struktur masjid yang masih berdiri selepas dilanda tsunami di Palu. – Instagram Noit Pippo

Beliau yang juga seorang jurugambar dalam air pada asalnya hanya mencuba nasib untuk memohon jawatan sebagai pereka grafik di Fox International Channels Asia, bagi saluran Nat Geo Asia pada 2013.

Dua minggu selepas permohonan tersebut, bapa kepada seorang cahaya mata lelaki berusia dua tahun itu dipanggil untuk menghadiri sesi temu duga di Singapura dan akhirnya ditawarkan pekerjaan.

Pada awalnya, beliau mengakui agak sukar untuk berulang alik selama sebulan dari Johor Bahru ke Singapura setiap hari untuk bekerja.

Bagaimanapun, Nat Geo Asia memindahkan Noit ke Bangsar selepas membuka cawangan untuk operasinya di Malaysia setelah sebulan beliau bertugas di Singapura.

Noit ketika melakukan selam skuba di Kei Kecil di Kepulauan Maluku, Indonesia. – Instagram Noit Pippo

Ketika itu, pasukannya hanya terdiri daripada seorang editor, pereka grafik dan pengarah seni.

Bermula sebagai pereka grafik kanan, Noit diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab lebih besar iaitu sebagai pengarah seni kira-kira tiga tahun kemudian.

Pemuda kelahiran Ipoh, Perak itu membina portfolio dalam penghasilan dokumentari tentang alam semulajadi, pergunungan, budaya dan warisan serta kehidupan laut untuk Nat Geo.

Pekerjaannya itu telah membawa beliau mengembara jauh ke Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina, India, Bangladesh, Mongolia, Hong Kong, Taiwan dan Bhutan.

 

Kesiannya kita tak boleh buat apa-apa sebab kawasan tu keras macam simen. Selut dah bercampur dengan air dan jentolak nak korek pun tak boleh.

[ NOIT PIPPO Pengarah Seni Nat Geo Asia

Tempoh empat jam meluangkan masa bersama pemuda tersebut seakan-akan tidak cukup kerana beliau tidak lokek bercerita tentang pengalamannya.

Penulis cukup tertarik dengan cerita anak sulung daripada empat beradik itu yang menjejakkan kaki ke bumi pemburu paus di Lamalera yang terletak di Timur Flores, Indonesia.

Katanya, terdapat satu etnik di kawasan itu yang meneruskan kelangsungan hidup dengan menangkap ikan paus.

“Masa saya ke sana September tahun lalu, mereka survive hanya dengan makan ikan paus.

“Ketika sampai, saya buat kajian dan tak boleh terima kenapa mereka makan ikan paus sedangkan banyak ikan lain lagi,” ceritanya yang kini berpangkalan di Jakarta, Indonesia.

Etnik Lamalera memburu ikan paus untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka. – Instagram Noit Pippo

Bagaimanapun, lama-kelamaan beliau faham kerana tanaman tidak boleh hidup di atas tanah di Lamalera kerana kandungan belerangnya sangat tinggi.

Kawasan tersebut juga didakwa tiada ikan lain dan sekali pun ada, ikan seperti kerapu sudah digazetkan oleh kerajaan Indonesia sebagai haiwan taman laut.

“Mereka tangkap ikan paus sejak beratus tahun dulu. Banyak badan bukan kerajaan (NGO) datang untuk memberi didikan kepada mereka, tapi tak berjaya.

“Mereka memburu paus secara tradisional menggunakan lembing. Jadi, dalam setahun mereka hanya tangkap enam ekor ikan paus,” tambahnya.

Selain ikan paus, etnik Lamalera turut memburu ikan lumba-lumba sebagai sumber makanan mereka. – Instagram Noit Pippo

Jelas Duta Jenama GoPro Asia itu, ikan-ikan paus yang ditangkap tidak dijual malahan diagihkan kepada kira-kira 2,000 penduduk kampung.

Etnik tersebut menyimpan dan menjemur daging ikan paus tersebut untuk memastikan ia tahan lama memandangkan tiada bekalan elektrik di sana.

Penduduk tempatan juga masih menggunakan sistem barter jika ingin mendapatkan beras, sayur dan buah-buahan daripada penduduk kampung lain di wilayah Lembata, Flores.

Noit mengagumi bakat fotografi Shannon Wild sebagai jurugambar hidupan liar di Nat Geo Wild. – Instagram Shannon Wild

“Saya pernah makan daging ikan paus yang segar, dagingnya rasa kenyal macam kita makan daging bahagian lemak tu.

“Bagi mereka sedap lah, tapi saya terpaksa makan kerana ingin mencuba dan tidak begitu menyukainya,” katanya yang menjadikan jurugambar Shannon Wild daripada jabatan hidupan liar Nat Geo sebagai rujukan.

Pengarah seni itu sempat menitipkan nasihat kepada mereka yang berhasrat untuk menjadi sepertinya agar berani mencuba dan memiliki kekuatan mental yang tinggi untuk menerokai setiap pelosok udara, lautan dan daratan.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LubukMaklumat

Sumber

Be the first to comment

Leave a Reply