Resepi Keropok Lekor 3 Bahan. Senang Je Nak Buat Rupanya!

0
121

“Alahai, kenapa orang jual keropok lekor takde kat pasar malam hari ni. Kempunan aku nak makan keropok lekor. Kena tunggu minggu depanlah jawabnya…”

Keropok lekor adalah snek kegemaran rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan usia. Berbeza dengan keropok biasa, keropok lekor mempunyai sedikit isi ala-ala fish stick. Luarannya yang rangup dan dalamannya lembut menjadikan keropok lekor begitu enak dinikmati.

Sebenarnya, mungkin ramai tak tahu bahawa cara membuat keropok lekor ini tidak begitu sukar. Percaya atau tidak, anda boleh cuba menghasilkannya sendiri di rumah hanya dengan 3 bahan utama saja – seperti resepi yang dikongsikan oleh Puan Eyna ini.

Nak tahu caranya? Jom ikuti perkongsian beliau di bawah ini selengkapnya.

Resepi Keropok Lekor 3 Bahan, Sedap & Mudah

Keropok lekor homemade ini saya buat untuk hidangan makan petang. Memang mudah, cepat, dan sangat sedap.

Hanya perlu 3 bahan dan anda tak perlu bersusah payah membelinya di kedai lagi.

Bahan-bahan

  • 10 ekor ikan kembung / selayang
  • 2 cawan setengah tepung ubi
  • 1 cawan tepung gandum

*Garam & Ajinomoto secukup rasa

Cara-cara

Dah ada 3 bahan di atas? Mari tengok cara membuatnya pula. Simple saja.

1. Kisar

Pertama sekali, kisar isi ikan mentah-mentah guna blender. Tak perlu rebus ya.

Masukkan sekali sedikit garam, ajinomoto, dan air sejuk. Kisar sampai sebati.

2. Campurkan Tepung

Seterusnya, pindahkan bahan yang telah dikisar ke dalam satu bekas besar.

Kemudian, masukkan pula 1 cawan tepung gandum dan 2 cawan setengah tepung ubi.

3. Uli & Bentukkan

Gaulkan bahan kisar dengan tepung dan uli hingga ia menjadi doh.

Bila dah jadi doh, bentukkan jadi panjang-panjang macam keropok lekor mentah yang biasa kita tengok di kedai tu.

4. Rebus

Langkah seterusnya, rebuskan keropok lekor yang telah dibentuk tadi dalam air yang dipanaskan.

Kalau dah masak, nanti keropok lekor akan timbul. Dah bolehlah angkat dan toskan.

resepi keropok lekor

5. Sejukkan

Sejukkan sekejap dan potongkan kecil-kecil ikut citarasa masing-masing. Ada yang suka nipis, ada yang suka tebal. Terpulanglah ya.

6. Sedia Digoreng

Panaskan minyak dan goreng seperti biasa.

Inilah hasilnya. Rangup di luar, lembut di dalam. Sedap tau.

Wah, Simple Sangat Rupanya!

Dah siap dah keropok lekor 3 bahan. Mudah saja, bukan? Bahan-bahan pun tak susah nak cari.

Dengan perkongsian resepi ini, mudah-mudahan lebih ramai yang dapat membuatnya sendiri di rumah. Mana tahu, mungkin ada yang dapat jana pendapatan tambahan sekaligus.

Selamat mencuba!

*Resepi ini dikongsikan oleh Puan Eyna melalui Facebook dan ia diterbitkan semula dengan kebenaran. Untuk pertanyaan lanjut, boleh rujuk post asal atau follow beliau di SINI.

Sumber: SirapLimau