Titik Hitam: Derita Suami Durjana

0
219

Hampir sembilan tahun melayari bahtera rumah tangga bersama suami, akhirnya Ana* membuat keputusan untuk menamatkan segala-galanya. Semuanya angkara perbuatan keji si suami terhadap cahaya mata mereka. Dia tidak boleh menerima hakikat, seorang ayah sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap anaknya.

Ana dan suami mendirikan rumah tangga atas dasar saling sayang-menyayangi. Biarpun Ana tahu suaminya bekas penagih, dia menerima dengan hati terbuka kerana yakin si suami sudah berubah dan ingin membina kehidupan baru bersama. Sepenuh kepercayaan diberikan kepada suami dan dia yakin mereka boleh hidup bersama selama-lamanya.

 

“Tahun pertama perkahwinan, saya rasa cukup bahagia di sampingnya. Zarul* melayan saya bagai seorang puteri raja. Segala kemahuan saya dipenuhinya. Setiap detik, rumah tangga kami diserikan dengan gurau senda dan gelak ketawa. Merajuk dan bergaduh tetap ada tetapi hanya gaduh-gaduh manja sahaja. Tidak pernah belarutan,” ujar Ana.

Hampir memasuki tahun kedua perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata pertama. Akhirnya, impian kedua-duanya untuk menimang cahaya mata sendiri tertunai. Bermulalah fasa baru dalam kehidupan mereka. Masing-masing teruja untuk menjadi ibu dan ayah terbaik untuk anak mereka.

“Alhamdulillah, setahun selepas saya melahirkan anak pertama, saya diberikan rezeki lagi dan hamil anak kedua. Khabar gembira ini saya sampaikan kepada Zarul dan dia juga tidak sabar-sabar menanti kelahiran bayi ini. Namun, kegembiraan ini tidak kekal lama apabila Zarul kehilangan kerja dan terpaksa mencari kerja baru bagi menyara kami sekeluarga,” ujar Ana.

Bermula dari detik itulah, rumah tangga mereka mula dilanda dugaan dan akibat tekanan yang tidak tertanggung akhirnya Zarul terjebak semula dengan najis dadah. Biarpun terkilan dengan sikap Zarul, Ana tetap bersabar dan dia masih setia di samping suami tersayang.

Dua tahun dia bersabar dengan hidup di samping penagih. Tetapi dia beruntung kerana Zarul tidak pernah berkasar dengannya cuma, kehidupan mereka sehari-hari ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Duit gaji Zarul habis dibelanjakan membeli dadah. Mujur Ana sudah bekerja jadi, dengan pendapatan yang diterimanya dia gunakan untuk memenuhi keperluan anak-anak yang waktu itu masih kecil dan tidak tahu apa-apa.

Berpisah sementara

Setiap hari Ana berdoa semoga Zarul berubah. Birpun dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan ayah tetapi itu semua tidak bermakna buat Ana andai dia masih menagih. Akhirnya doa Ana termakbul jua apabila pada suatu hari Zarul ditangkap pihak berkuasa sewaktu menagih bersam teman-temanya. Jauh di sudut hati, Ana merasakan itu adalah perkara terbaik yang berlaku kepada Zarul demi melihat suaminya itu kembali ke pangkal jalan.

Sepanjang lima tahun Zarul di dalam penjara, Ana tidak pernah bosan menanti kepulangan suaminya di samping mereka. Sepanjang tempoh Zarul ditahan, dialah yang membesarkan anak-anaknya sendiri. Biarpun keluarga pernah menyarankan dia supaya meminta cerai, namun Ana masih mahu menjadi suri hidup Zarul.

“Pernah beberapa kali saya melawat Zarul di penjara. Melihat perubahannya, hati saya berasa lega dan yakin Zarul sudah insaf. Disebabkan itulah saya tidak pernah terfikir untuk berpisah dengannya. Sayang saya kepada Zarul masih tebal dan anak-anak juga masih memerlukan ayah mereka,” katanya.

Selepas tamat tempoh tahanan, Zarul pulang ke pangkuan Ana semula. Pada mulanya, kehidupan mereka sekeluarga berjalan seperti biasa. Biarpun terpaksa berhadapan dengan pandangan sinis jiran dan keluarga, Ana butakan sahaja mata. Paling penting dia tahu Zarul sudah berubah dan tidak lagi menagih.

Zarul mula mencari kerja bagi menambah pendapatan keluarga. Namun disebabkan sejarah silamnya, dia sukar mendapat pekerjaan dan ini amat memberi tekanan kepada dirinya. Disebabkan itu untuk kesekian kalinya, Zarul menagih kembali. Luluh hati Ana apabila tahu mengenainya. Punah harapannya untuk melihat suaminya bebas daripada najis dadah.

Haruan makan anak

Pada satu ketika, Ana meninggalkan anak lelakinya di bawah jagaan Zarul. Dan berlaku sesuatu yang boleh disifatkan seperti haruan makan anak kerana Ana mengharapkan Zarul menjaga anak lelaki mereka dengan baik sebaliknya Zarul meliwat darah dagingnya sendiri. Kejadian berkenaan menyebabkan anak lelaki mereka mengalami kemurungan.

Ana mengetahui perkara ini sewaktu membawa anak lelakinya mendapatkan rawatan bagi masalah kemurungan yang dialami.  Alangkah terkejutnya Ana apabila diberitahu Doktor yang merawat bahawa anaknya adalah mangsa liwat dan dia sudah dapat mengagak Zarul yang melakukan perbuatan itu.

“Hanya Zarul sahaja yang perlu dipersalahkan kerana sewaktu pulang ke rumah pada petang itu, saya dapati anak lelaki saya bersikap pelik. Dia hanya menyendiri dan asyik menangis sahaja. Manakal Zarul pula saya lihat masih khayal akibat dadah yang diambil. Disebabkan risau, saya membawanya membuat pemeriksaan di hospital. Jadi apabila diberitahu keadaan sebenar anak saya, saya amat yakin Zarul penyebabnya,” kata Ana mengibau kembali saat memilukan itu.

Disebabkan peristiwa itu, Anak nekad untuk berpisah dengan Zarul. Tiada lagi sayang buat lelaki durjana yang sanggup meliwat anaknya. Tiada lagi kemaafan atas perbuatan terkutuknya itu. Bagi Ana, Zarul tidak layak menjadi ayah buat anak mereka dan tidak berhak untuk hidup bersamanya.

“Selepas kejadian itu, Zarul dipenjara semula atas kesalahannya. Namun, yang memilukan saya adalah, anak lelaki saya mengalami tekanan perasaan yang amat kuat. Sehingga ke hari ini dia masih trauma dan menangis tiba-tiba apabila ketakutan. Besar harapan saya semoga anak saya kembali pulih dan dapat membesar seperti kanak-kanak lain. Buat Zarul, saya harap saya tidak akan bertemu dengannya lagi selepas ini. Biarlah, dia lenyap dari pandangan saya dan anak-anak buat selama-lamanya,” ujar Ana.

*Bukan nama sebenar
Artikel ini diterbitkan di Majalah Jelita edisi Jun 2016

Sumber: Jelita