Golongan muda kena peka dengan masalah ini!!

Peredaran masa membawa bersama perubahan dalam kebanyakan aspek kehidupan termasuk pemakanan, dan sejak tahun-tahun kebelakangan ini kita dapat melihat “kegilaan”, khususnya golongan muda, terhadap makanan dan minuman ‘hipster’ yang unik.

Antara yang popular ialah pisang goreng bersalut keju, teh ais boba dan ‘Milo ais kepal’ (ketulan ais dikisar dan dikepal sebelum disiram dengan cairan Milo pekat, susu krimer manis dan ditabur kacang hancur). Kesemua makanan dan minuman ini mempunyai kandungan gula yang amat tinggi dan disifatkan oleh pakar kesihatan awam sebagai “keterlaluan”.

Jika dilihat pada corak pemakanan sedemikian, tidak hairanlah apabila didapati berlaku peningkatan kes diabetes dalam kalangan orang muda berusia bawah 40 tahun di negara ini sejak 11 tahun yang lalu, dan ini bukanlah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, prevalens diabetes dalam kalangan orang dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas menunjukkan trend peningkatan, bermula dengan 11.2 peratus pada 2011, meningkat kepada 13.4 peratus (2015) dan yang terkini, 18.3 peratus atau 3.9 juta orang daripada populasi negara (2019). Statistik ini dijangka terus meningkat apabila survei NHMS dilaksanakan pada 2023 nanti.

Makanan hipster merosakkan diri

Menurut Timbalan Pengarah Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Bahagian Kawalan NCD, Kementerian Kesihatan (KKM) Dr Feisul Idzwan Mustapha berkata pemakanan yang tidak sihat, termasuk makanan dan minuman hipster, merupakan antara faktor risiko utama peningkatan kes diabetes dalam kalangan warga muda saban tahun.

Menurutnya lagi, pemakanan yang tidak sihat itu termasuklah pengambilan makanan secara berlebihan, makanan yang tinggi kandungan gula, lemak dan garam selain kurang makan sayur-sayuran, buah-buahan dan serat.

 

“Kita boleh lihat sendiri betapa hebatnya populariti pelbagai makanan dan minuman hipster dalam kalangan orang muda kita. Makanan ini pula amat mudah didapati walaupun di warung di tepi jalan, selain turut diiklankan secara meluas khususnya menerusi media sosial.

“Bagi mengira kandungan kalori, ini bergantung pada kuantiti makanan dan minuman yang diambil. Satu gelas teh boba (bersaiz 500 ml) misalnya, mempunyai kira-kira 300 hingga 500 kilokalori (kcal).

“Cuba bandingkannya dengan satu senduk nasi (75 kcal). Bermaksud, kilokalori satu gelas teh boba bersamaan lima senduk nasi. Sekeping pisang goreng berkeju bersaiz biasa pula mempunyai 190 kcal. Bayangkan betapa tingginya kandungan gula dalam makanan viral sebegini,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Beliau berpandangan antara faktor produk sedemikian begitu popular dalam kalangan generasi muda ialah kerana sifat golongan itu yang mudah terpengaruh dengan hantaran media sosial dan strategi pemasaran peniaga serta pempengaruh media sosial dan rakan sebaya. Menurut beliau, corak pemakanan tidak sihat itu juga lazimnya bermula sedari diperingkat kanak-kanak.

Kurangnya pemeriksaan kesihatan berkala

Dr Feisul Idzwan merupakan pakar perubatan kesihatan awam, berkata masalah NCD seperti diabetes dalam kalangan orang muda turut diburukkan lagi oleh hakikat bahawa masih ramai rakyat Malaysia tidak menjadikan saringan kesihatan berkala, baik ujian gula dalam darah, kolesterol dan juga pemeriksaan tekanan darah, sebagai gaya hidup.

Selain itu, beliau memberi tahu saringan kesihatan boleh dilakukan di mana-mana klinik kesihatan kerajaan dan juga swasta, selain turut ditawarkan di bawah program Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Menurutnya lagi, antara punca masalah itu ialah kurang kesedaran akan kepentingan saringan kesihatan di samping pelbagai alasan lain, antaranya tiada kemudahan pengangkutan untuk ke fasiliti kesihatan, tiada masa akibat kerja, perlu menjaga ahli keluarga, malah ada juga yang takut tentang keputusan yang bakal diterima, lantas memutuskan tidak mahu ambil tahu.

“Saya ingin tekankan betapa pentingnya untuk kita mengesan penyakit NCD seperti diabetes pada peringkat awal. Jika dapat dikesan awal, penyakit diabetes lebih mudah untuk dikawal, dan risiko komplikasi juga dapat dikurangkan.

“Jika penyakit diabetes terkawal, seseorang pesakit boleh kekal dalam kesihatan yang baik hingga ke akhir hayat. Oleh itu, dicadangkan setiap rakyat Malaysia yang dewasa menjalani saringan kesihatan setiap tahun. Jenis saringan kesihatan bergantung pada jantina, umur dan tahap risiko kesihatan individu (termasuklah sejarah penyakit dalam keluarga),” katanya.

Jelas beliau, penyakit diabetes yang tidak dikesan dari awal dan tidak dirawat boleh menyebabkan kesan yang lebih teruk seperti kegagalan buah pinggang (nefropati diabetik), kerosakan pada retina (retinopati diabetik), penyakit jantung koronari dan mati pucuk.

Perbaiki pemakanan, gaya hidup

 

Sementara itu, pakar perunding endokrinologi dan obesiti di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur Dr Saiful Kassim pula berpandangan trend membimbangkan tentang peningkatan kelaziman diabetes dalam kalangan generasi Y (lahir pertengahan 1980-an hingga 2000) berpunca daripada “keracunan makanan disebabkan pilihan sendiri” dan kurang pergerakan fizikal.

“Ini perlu diperbaiki melalui gaya hidup aktif dengan melakukan pergerakan fizikal setiap 30 hingga 60 minit setiap hari serta berjalan kaki 50 kali dari satu dinding ke satu dinding lain di rumah.

“Pergerakan fizikal juga adalah perkara paling penting berbanding senaman intensif, kerana senaman amat sukar dilakukan jika seseorang itu sudah tua atau mengalami osteoartritis (sakit sendi yang ketara). Namun jika ingin bersenam, anda digalakkan untuk melakukannya minimum 150 minit setiap minggu, selain melakukan aktiviti berjalan pantas selama 30 minit, lima hari seminggu,” katanya.

Beliau menasihati kepada masyarakat agar mengamalkan pemakanan harian yang sederhana dan seimbang, iaitu makanan yang terdiri daripada makanan berserat tinggi yang berkhasiat serta makanan rendah karbohidrat dalam kuantiti yang sesuai.

Pensyarah kanan Jabatan Sains Bioperubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia Dr Sharifah Sakinah Syed Alwi pula berkata tabiat pemakanan yang sihat antara lain ialah mengambil buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh serta makanan kaya protein dalam nisbah yang berpatutan seperti makanan laut, daging tanpa lemak, kekacang dan produk soya.

“Selain itu, pengambilan makanan yang rendah lemak tepu atau trans, rendah kolesterol, sodium dan gula dapat membantu mengekalkan kesihatan badan yang baik. Senaman yang kerap juga dapat menambah baik kawalan gula dalam darah terutamanya untuk pesakit diabetes jenis 2, merendahkan risiko penyakit kardiovaskular dan mengurangkan berat badan,” katanya.

Beliau turut menegaskan pentingnya semua pihak berpadu tenaga menghentikan amalan pengambilan makanan tinggi kandungan gula dan kurang nutrisi tersebut bagi membina generasi Keluarga Malaysia yang lebih sihat dan bebas penyakit NCD seperti diabetes.

Penyakit diabetes atau kencing manis berlaku apabila paras gula dalam darah menjadi tinggi yang disebabkan oleh badan tidak dapat menghasilkan insulin mencukupi atau tidak dapat menggunakan insulin dengan betul.

Mengikut data terkini Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) menunjukkan hampir 537 juta orang dewasa di seluruh dunia (10.5 peratus daripada keseluruhan populasi orang dewasa) hidup dengan diabetes, dan angka itu diramal meningkat kepada 643 juta (11.3 peratus) menjelang 2030 dan 783 juta (12.2 peratus) menjelang 2045.

Diabetes terbahagi kepada dua jenis yang biasa. Jenis pertama berlaku apabila pankreas tidak berupaya menghasilkan insulin kerana sel-sel yang menghasilkan insulin telah dirosakkan oleh sistem imun tubuh sendiri, dan ini biasanya memerlukan rawatan suntikan insulin.

Jenis kedua pula merujuk kepada insulin tidak sensitif yang sedia ada dalam badan pesakit dan biasanya terjadi kepada mereka yang mempunyai sejarah kencing manis dalam keluarga. Ini boleh dirawat dengan ubat-ubatan dalam bentuk pil ataupun gabungan bersama rawatan insulin.

Antara tanda dan gejala utama diabetes ialah dahaga keterlaluan, kerap kencing, cepat letih, luka lambat sembuh serta rasa kebas atau mencucuk di kaki atau tangan.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LMM

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LubukMaklumatMalaysia

Sumber: Selangorkini

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*


This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.